Community Activities

Ruang ini adalah peluang kita membuka minda bertukar pandangan dan pengalaman ke arah yang lebih produktif dan membina. Setiap isu akan diutarakan di bahagian Home pada semasa ke semasa dan disimpan serta dikumpulkan di bahagian Community Activities.

Isu 2/11

BERAPA RAMAIKAH PELAJAR YANG BENAR-BENAR MEMAHAMI SEMASA MENGIKUTI KULIAH?


Pelajar sedang serius mengikuti kuliah STKK2133 Pemangkinan Kimia
(Gambar dirakam pada 9hb Oktober 2011)

Kuliah bermula dan kuliah berakhir lalu tugas hari itu selesai. Namun sejauh mana kuliah yang disampaikan itu difahami pelajar? Jawapannya ada pada kita semua; pelajar dan pengajar. Kita tahu keberkesanan pengajaran menjadi tajuk yang sering mendapat perhatian. Beberapa faktor memang diketahui mempengaruhi keberkesanan sesuatu kuliah. Apapun kaedah atau pedagogi yang diamalkan, interaksi kita dengan pelajar amat penting. Dalam sesuatu kelas yang saiznya tidak melebihi 100 orang interaksi boleh dikatakan berkesan. 

Namun demikian, berjayakah kita membawa pelajar kepada peningkatan minda berfikir dan kreatif? Persoalan ini sukar dijawab tanpa usaha daripada kedua-dua pihak. Ujian pemahaman kuliah boleh direka sendiri untuk menguji pemahaman dan daya berfikir pelajar walaupun nota dan buku dibenarkan semasa ujian. Sebagai contoh ialah soalan yang berkisar mengenai sesuatu konsep dan pelajar perlu berfikir untuk memberi jawapan yang paling tepat.

1. Kinetik Kimia adalah
(a) Kajian mengenai kadar
(b) Eksperimen untuk memperolehi hukum kadar sesuatu tindak balas
(c) Satu kaedah atau “tool “ untuk mengkaji mekanisme sesuatu tindak balas
(d) Satu-satu kaedah untuk menentukan tenaga pengaktifan tindak balas

2. Mekanisme adalah
(a) Langkah-langkah asas dalam sesuatu tindak balas
(b) Hanya diperolehi daripada kajian kinetik
(c) Penjelasan yang mendalam mengenai bagaimana sesuatu tindak balas berlaku
(d) Penting untuk mengawal dan mereka bina loji penghasilan sesuatu produk kimia

3. Sesuatu mekanisme tindak balas pasti
(a) terdiri daripada beberapa langkah asas
(b) terdiri daripada satu langkah tindak balas
(c) terdiri daripada beberapa langkah asas kecuali tindak balas asas
(d) akan menggunakan konsep langkah penentu kadar

Adalah perkara biasa pada hari ini apabila ujian seperti ini dijalankan, didapati hanya 10% daripada keseluruhan pelajar dalam sesebuah kuliah sahaja yang berjaya memperoleh markah melebihi 50%. Namun mesejnya adalah universiti bukan tempat untuk hanya mengaji tetapi belajar mengkaji. Ia satu proses pembangunan minda yang mengambil masa dan anatara elemen yang penting ialah usaha gigih kedua-dua pihak dalam konteks pembinaan negara.

Oleh: Prof. Bohari M. Yamin

12 Oktober 2011, 7.22 am

Komen-komen untuk isu 2/11

Azam said...
mind set pelajar-pelajar "study for exam" dan bukannya "study for life".
apa-apa yang dipelajari mesti mereka akan kaitkan dengan periksa.
sistem pendidkan malaysia juga bersaskan peperiksaan.
pemahaman tu nombor 2.
untuk mengubah mind set ini memang memakan masa yang lama.
*just another student view*




ISU 1/11

KEMANA PERGI PELAJAR LELAKI?

Zaman generasi kami belajar dulu sekitar tahun 1969 kata-kata ‘Ladies First’ memang sering kedengaran sebagai budaya  kesopanan dan hormat kepada insan lembut bernama wanita. Tetapi hari ini ‘Ladies’ memang ‘First’ tak payah lagi diberi laluan. Sebaliknya ke mana pula pergi pelajar lelaki? Gambar di bawah adalah beberapa bukti nyata dalam kuliah dan penglibatan saya dengan pelajar.

 Semasa taklimat tahun pertama Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, UKM 2010


 Pelajar tahun 3 kuliah saya (Kinetik Kimia) 2010



 Antara pelajar siswazah dari kumpulan penyelidikan saya 2010 yang aktif berbincang dengan profesor pelawat di seminar.

Lebih teruk lagi kisah penglibatan lelaki dalam dadah, mat rempit dan sebagainya sering dikaitankan dengan pengurangan insan-insan bernama lelaki. Sejuah manakah kebenaran fakta/andaian ini merupakan cabaran dalam kajian sains sosial. Ia begitu rumit sekali kerana setelah sekian lama jalan penyelesaian yang berkesan masih belum dicapai. Adakah ia fenomena global? Tentu banyak lagi persoalan dan pandangan dari pelbagai golongan dalam masyarakat kita khasnya. 

Oleh: Prof. Bohari M. Yamin

5 October 2011, 1.28 pm

Komen-komen untuk Isu 1/11:

Nor Ba'yah Abdul Kadir said...
Satu persoalan yang sukar untuk dijawab. Jika ditinjau daripada statistik jumlah kemasukan pelajar ke IPTA, yang ketara pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki. Di Fakulti Sains Sosial juga kelihatan pelajar perempuan memenuhi bilik-bilik kuliah. Secara peribadi, saya melihat kemungkinan besar kaum lelaki terutama anak sulung lebih dahulu memasuki alam pekerjaan untuk membantu keluarga. Ataupun ramai antara mereka ke luar negara menyambung pengajian, namun itu andaian semata-mata. Di Malaysia setakat ini belum ada kajian kebangsaan jangka panjang untuk meneliti perkara ini. Sebagai contoh mengkaji mereka yang lahir pada tahun 1990 hingga mencapai usia 18-21 tahun (kemasukan ke universiti) untuk melihat pola-pola tertentu.
5 October 2011 17:22